Tuesday, February 5, 2013

Sembahyang Dan Tauhid Dan Kewajaran

Menyembah Allah, hanya Allah, adalah mentauhidkan Allah. Menyembah Allah, hanya Allah, bukanlah hanya lebih baik berbanding tidur, tetapi juga adalah lebih baik berbanding solat, bahkan adalah lebih baik berbanding semua amal ibadat; dan rela atau tidak, seseorang yang sebenarnya tidak menyembah Allah bukanlah orang Islam, usahkan patut dikatakan mukmin, usahkan patut dikatakan pewaris Nabi, di samping tidaklah patut dikatakan pejuang Islam. Kaji-selidiklah surah Kafirun, lalu sedarlah bahawa seseorang yang sebenarnya menyembah selain Allah adalah kafir, lebih tepat, kafir mushrik: fahamkanlah, walau sebanyak manapun kebaikan dan pengetahuan dan hartanya, seseorang yang sebenarnya tidak menyembah Allah bukanlah orang Islam, usahkan mukmin, usahkan muttaqin, dan yang sebenarnya menyembah selain Allah masih adalah kafir mushrik, hina. Wahai kafir, tidaklah aku sembah apa yang engkau sembah, dan tidaklah engkau menyembah apa yang aku sembah: soalnya, apa itu sembah ataupun menyembah, sebenarnya? Dan susulan itu, betulkah engkau, ataupun si ustaz, ataupun si imam, menyembah Allah, bukan cakap bohong, bukan cakap saja? Erti menyembah adalah menghambakan diri; kalau ada hamba ataupun abdi, maka adalah juga si tuan atau bahkan si raja; dan bukanlah sembahyang namanya kalau tidak menyembah: fikir-fikirkanlah; munasabahlah; jujurlah.
       Ada otak, silalah guna; ada hati, silalah rasa; dan jujurlah sepenuhnya: percaya saja, apatah lagi sembrono yakin, adalah kerja bodoh; percaya saja, apatah lagi sembrono yakin, tidaklah membawa kepada kesempurnaan iman ataupun akal; dan ajaran supaya yakin ataupun percaya saja adalah ajaran untuk menyesatkan, di samping adalah ajaran yang membutakan ataupun merencat pemikiran. Renungilah surah Kafirun, dan sedarlah bahawa engkau bukanlah orang Islam kalau Allah tidaklah engkau sembah, dan bahawa engkau adalah kafir, maka bukanlah orang Islam, kalau selain Allah adalah yang engkau sembah, sebenarnya sembah. Menyembah Allah dan menyerah diri kepada Allah, iaitu bukan mengucap dua kalimah syahadah, adalah cara ataupun bagaimana untuk masuk Islam, yakni untuk menjadi muslim: sesungguhnya, Nabi Muhammad, juga Nabi Ibrahim, tidaklah masuk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah; sesungguhnya, erti Islam adalah penyerahan, yakni penyerahan diri, iaitu kepada Allah, Dia yang berkuasa berbanding semua, Dia yang sentiasa berhak dipertuan-rajakan; dan fahamkanlah sepenuhnya, bahawa masuk Islam, maka apatah lagi masuk Syurga, adalah dengan ilmu dan kewajaran, iaitu bukan dengan mengikut marwah.
       Siapa mengajar bahawa Islam ada ketua, ataupun bahawa seseorang manusia boleh menjadi ketua Islam? Sedarlah, seseorang manusia hanya boleh berada di dalam ataupun di luar Islam, bukan di atas Islam, juga bukan di depan Islam; dan hakikatnya, erti muslim adalah yang menyerah diri, iaitu kepada Allah. Suka atau tidak, Islam, iaitu ugama ciptaan Allah, tidaklah memerlukan ketua ataupun pelindung; dan ugama Islam sudahlah sempurna, yakni sudah disempurnakan oleh Allah, Dia, penilai terarif, Dia, guru teralim, maka tidaklah harus, usahkan perlu ada penambah-baikan ataupun perubahan kepada Islam; apapun, yang berhak untuk menambah ataupun merubah ugama Islam hanyalah Allah, iaitu Dia yang tahu serta wajar berbanding semua, iaitu Dia yang akbar tiada tandingan, iaitu Dia, rob-binnas, malikin-nas, ila-hinnas, yakni tuan manusia, raja manusia, tuhan manusia. Hmm, sedangkan syaitan adalah mak andam kejahatan dan kebodohan dan ketidak-wajaran, siapakah yang layak untuk mendapat hidayah, tidak tersalah-faham, tidak percaya yang bukan-bukan, tidak terus sesat ataupun jahil? Kalaulah betul engkau percayakan surah Kafirun, maka tidaklah engkau percayakan hadis yang mengatakan bahawa masuk Islam adalah dengan mengucap dua kalimah syahadah; kalaulah betul engkau percayakan surah an-Nas, maka tidaklah Allah sekadar engkau pertuhankan; dan kalaulah betul engkau percayakan ayat 28 surah Taubah, maka tidaklah engkau percayakan ajaran dan imam dan mazhab yang mengatakan bahawa anjing, juga babi, adalah najis. Sedarlah, bahawa erti najis adalah cemar, yakni kotor akibat dosa; dan menshirikkan Allah adalah paling berdosa, serta adalah kesalahan yang paling melampau, paling biadab, paling jahat.
       Kebenaran, juga kejujuran, bukanlah sepatutnya sejajar dengan marwah; kewajaran, juga keadilan, juga kebenaran, bukanlah sesuatu yang sepatutnya menyeronokkan; dan hidayah Allah, bahkan kesedaran, apatah lagi kasih Allah dan SyurgaNya, bukanlah untuk semua dan sesiapa saja: sedarlah, bahawa bukanlah hanya syahwat dan nafsu, tetapi marwah juga bukanlah sesuatu yang patut diikut-ikutkan, serta bukanlah sesuatu yang patut diperjuangkan; disiplinkan serta jagalah diri, bukan ikut sedap marwah, bukan ikut suka hati; dan betapa sikap jujur, di samping logik dan akal, amatlah penting untuk menjadi seorang yang faham, betul faham, serta sedar, cukup sedar. Ilmu sembahyang dan tauhid adalah ilmu yang paling perlu untuk menjadi orang Islam yang sebenar, lebih-lebih lagi untuk menjadi ahli Syurga ataupun seorang yang mulia, sungguh mulia; tidaklah menyerah diri kepada Allah kalau tidak mahu mempertuan-rajakan Allah, juga kalau derhaka ataupun sombong terhadap Allah; dan menyembah Allah, hanya Allah, adalah sikap serta kewajaran yang paling tinggi nilainya; namun, syaitan adalah mak andam kejahatan dan kebodohan dan ketidak-wajaran, dan Allah pula tidaklah sudi untuk memberi hidayah kepada pelampau dan pendusta; subhanallah.
       Innalillah; wainna ilaihiraajiuun. Tidaklah Allah letakkan SyurgaNya di bawah telapak kaki rasulNya, usahkan di bawah telapak kaki ibubapa, usahkan di bawah telapak kaki suami; ilmu dan kewajaran adalah yang membawa ke Syurga, bukan kasih dan penghormatan siapapun makhluk; dan Hadis atau apapun yang sebenarnya bercanggah dengan sesuatu ajaran Allah janganlah tidak disedari, usahkan dipercaya. Allah adalah guru teralim dan yang paling mampu untuk mengajarkan al Quran, di samping adalah satu-satunya yang patut dipertuankan, dan diperajakan, dan dipertuhankan. Ringkas kata, kenal-pasti ataupun ketahuilah sebenar ajaran Allah yang terkandung di dalam al Quran, termasuklah mengenai hadis dan sunnah dan kafir dan najis dan ulama dan shafaat; dan ikutlah wahyu, yakni terima-pakai ataupun berpeganglah kepada ajaran Allah, walau seramai manapun muslim palsu dan makhluk lain memutar-belit, atau bahkan memaksa dan mengganas, tidak jujur, tidak wajar, tidak baik: Allahu akbar.
       Pencipta, bukan makhluk, adalah yang patut dipertuankan; tidaklah ciptaan patut dipertuankan, apatah lagi hamba diperajakan; dan hayatilah, bahawa ketuanan adalah hak asasi Allah, Dia, si pencipta, Dia, si pemberi nyawa, Dia yang akbar berbanding semua, dan kemerdekaan, maka kemerdekaan, adalah hak asasi manusia, semua manusia, walau apapun bangsa dan sebenar ugamanya. Sedarlah, menyembah Allah adalah dengan mempertuankan dan memperajakan Allah; mempertuankan, apatah lagi memperajakan selain Allah adalah menshirikkan Allah, tidak setia kepada Allah; dan kufur, shirik, tidak mentauhidkan Allah, samalah dengan derhaka, curang, tidak setia kepada Allah. Allah adalah tuanku, rajaku, tuhanku, dan kepada Allah aku menyerah diri; Allah adalah tuan kita, raja kita, tuhan kita, dan kepada Allah kita wajib, sangatlah wajib menyerah diri, tidak sombong, tidak derhaka, usahkan curang; dan kita adalah ciptaan serta hamba kepunyaan Allah yang kepadaNya kita dikembalikan untuk perkiraan yang tepat, serta untuk pembalasan yang telah Dia janjikan. Maka, apakah sikap dan isi hatimu; apakah kebaikan yang engkau ada ataupun telah lakukan; ringkasnya, siapakah engkau pada pandangan Allah, Dia yang mulia serta akbar tiada tandingan?