Berjayakah Qorun ketika dia bermarwah dan banyak harta;
muliakah Firaun ketika ramai adalah yang mempertuan-agungkannya;
dan hebat atau bijakkah (Tok Guru Tuan Haji) Umar ibnu Hisham
ketika ramai menggelarnya Abu Hakam, yakni Bapa Hikmah atau Bapa Kebijaksanaan,
berbanding yang mengelarnya Abu Jahal, yakni Bapak Bodoh atau Kepala Bangang?
Niatku bukanlah untuk menjadi jutawan, atau berkereta mewah, atau berumah besar serba indah,
kerana tumpuan dan bidangku adalah falsafah dan kerohanian, bukan untung dan kebendaan duniawi:
takrif kejayaan kita berbeza kerana kepercayaan dan isi hati kita ada kelainan,
namun tidakkah penilaian yang penting berbanding semua penilaian
adalah penilaian Dia yang akbar tiada tandingan, Dia, tuan Alam
di mana Bumi yang kecil ini berada, Dia, penguasa mutlak Syurga dan Neraka?
Takrif kejayaan kita mungkin berbeza; tahap kesedaran kita mungkin tidak sama;
dan begitulah halnya dengan kepekaan dan beberapa lagi isu atau perkara;
namun hakikat tidak berubah menurut kehendak kita;
hakikat tidaklah bergantung kepada kehendak siapapun yang dikuasai.
Suka atau tidak, Allah adalah yang akbar, bahkan Allah adalah satu-satunya tuhan, sebenar tuhan,
iaitu penguasa atau pemerintah yang tidak dikuasai, sesungguhnya tidak dikuasai oleh siapapun,
maka penilaian Allah, bukan penilaian engkau dan aku dan siapapun makhluk,
adalah penilaian yang penting, cukup penting, sungguh penting;
dan begitulah juga halnya dengan ajaran dan perintah dan perundangan:
fikirkanlah; jujurlah; dan patut-patutlah, bukan ikut marwah, bukan ikut suka.
Ringkas kata, setiap yang bermula pasti ada akhirnya;
setiap makhluk yang bernyawa pasti ada matinya;
kita mampu merancang dan berusaha, selain berangan dan yakin membuta,
namun Allah adalah yang sungguh amat berkuasa ke atas setiap sesuatu:
rela atau tidak, kita adalah ciptaan dan hamba kepunyaan Allah,
dan walau seramai manapun membantah, tidak dilapangkan dada, tidak mahu menyembah,
Allah tetap rob-binnas, malikin-nas, ila-hinnas, yakni tuan manusia, raja manusia, tuhan manusia;
derhaka, curang, tidak setia kepada Allah, adalah kufur, shirik, tidak mentauhidkan Allah;
dan kepada Allah kita akan dikembalikan untuk perkiraan dan pembalasan dariNya;
maka, pandai atau berjaya atau muliakah engkau,
atau adakah engkau sebenarnya bodoh atau rugi atau hina,
menurut pandangan dan penilaian Allah, iaitu Dia yang bukan mata duitan,
iaitu Dia yang tidak memerlukan, iaitu Dia yang tidak bodoh serta tidak zalim?
Hakikatnya, solat bukanlah sembahyang, juga tidaklah sama dengan zikrullah;
melakukan solat bukanlah bermakna menyembah Allah; dan Allah bukanlah sekadar tuhan:
rob dan ilah dan malik tidaklah sama ertinya; solat dan sembahyang dan zikir tidaklah sama ertinya;
zikrullah adalah akbar berbanding solat, dan mushrik adalah najis, menurut ajaran pengarang al Quran;
dan Allah tidak memberi hidayah, maka apatah lagi kasih dan SyurgaNya, kepada pelampau dan pendusta.
Berjaya ilusi, bukan berjaya hakiki; betul yakin, bukan betul sungguh, dan bukan betul tahu;
sekadar muslim perasan atau muslim yakin, bukan sungguh menyembah Allah, bukan betul orang Islam:
apabila yang diambil sebagai imam atau ketua sebenarnya adalah ulama derhaka atau alim palsu,
atau apabila al Quran, kalamullah, bukanlah yang sebenarnya diberikan kepercayaan,
atau apabila Hadis bagaikan guru, dan marwah pula bagaikan tuan, ke atas akal dan kejujuran,
maka tidakkah kebanyakan yang solat adalah muslim palsu mushrik, kalaupun tidak sezalim Abu Jahal,
dan tidakkah kebanyakan yang mengaku orang Islam adalah kafir, yakni yang derhaka terhadap Allah,
lalu tidakkah syaitan selalu tersenyum, atau ketawa, sambil merasa bangga?
Hakikatnya, bukanlah engkau orang Islam kalau engkau sebenarnya tidak menyembah Allah;
menyembah Allah, maka apatah lagi masuk Islam, bukanlah dengan mengucap dua kalimah syahadah;
menyembah Allah, iaitu menghambakan diri kepada Allah, mestilah bermakna mempertuankan Allah,
kerana erti menyembah adalah menghambakan diri, dan kalau ada hamba maka mestilah ada tuan;
dan ketuanan Allah bermakna kemerdekaan dan kesaksamaan dan keadilan,
sedangkan ketuanan makhluk bermakna perhambaan dan penindasan dan kezaliman,
namun syaitan adalah yang mampu untuk menghias-indahkan kejahatan dan kebodohan:
apapun, sebenar kemuliaan tidaklah bergantung kepada penerimaan manusia dan pemilikan harta benda;
sebenar kemuliaan, dan pencapaian kita, adalah bergantung kepada Allah, Dia yang terlalu amat berkuasa;
betul baik, juga betul bijak, bukanlah pelampau, juga bukanlah pendusta, pada pandangan Allah;
dan Allah, iaitu Dia, pengajar al Quran, bukanlah yang memerlukan, namun Neraka sedia menanti;
maka, berusahalah untuk menjadi orang akal dan kewajaran, bukan orang marwah dan kebendaan,
bukan tin kosong atau haiwan ternakan, dan bukan yang singkat pandangan.