Saturday, January 16, 2010

Cinta Dan Salam @ Kepadamu Yang Menyintai

Perasaan yang dinamakan cintatidaklah sama saja kualiti dan kuantitinya:
yang jahat adalah untuk yang jahat
sedangkan yang baik adalah untuk yang baik;
dan mereka yang mementingkan syahwat atau perhiasan duniawi
tidaklah sebaik mereka yang mementingkan kesucian serta keadilan.

Apabila sudahpun ada cinta
mengisi ataupun memenuhi ruang jiwa
sedangkan perkawanan belum pun bermula,
tidakkah itu cinta pandang pertama namanya,
atau tidakkah itu cinta yang paling mengasyikkan
atau juga yang tertinggi nilainya?
Cinta bukanlah sebenarnya
hasil ataupun akibat persahabatan:
cinta adalah ciptaan dan pemberian Dia
yang bukan mata duitan, Dia
yang maha suci bahkan maha mulia,
Dia, Allah, satu-satunya sebenar tuhan.

Apapun, sampaikanlah salam kepada si dia,
samada secara lisan ataupun secara bertulis,
sebelum rindu bagaikan berdendam menikam kalbu,
atau cinta bagaikan sumber yang kaya dengan derita,
atau menangis hanyalah apa yang engkau mampu
lakukan sesungguhnya:
pecahkanlah tembok yang mengasingkan engkau dari si dia;
janganlah biarkan malu, apatah lagi sombong, menjadi penghalang;
dan layanlah si dia dengan kejujuran atau juga ehsan,
bukan dengan seangkuhnya ajaran pepatah “perigi mencari timba”.

Sedarlah, tidak semua lelaki adalah penggoda atau muka tembok;
lembut pada ucapan bukanlah bermakna baik isi hati;
dan aku tidak mahu tersalah-sangka, apatah lagi tersalah-percaya,
maka aku tidaklah suka menyangka-nyangka:
kesucian adalah yang patut dipentingkan berbanding seks dan harta;
keadilan adalah yang patut dipentingkan berbanding nafsu dan marwah;
dan Allah tidak memberi hidayah, usahkan keredhoan dan kasihNya,
kepada pendusta, apatah lagi kepada pelampau.

Akal Dan Keyakinan

Apabila sampai kepada engkau
sesuatu yang munasabah atau nyata benar,
adakah engkau akan mabuk keegoan,
tidak mahu mengikut akal, tidak mahu rasional,
lalu menjadi lebih merbahaya berbanding mereka
yang disahkan gila, tidak siuman?
Menyembah ertinya menghambakan diri;
dan kalau ada hamba, maka mestilah ada tuan;
oleh itu, apakah makna menyembah, sebenarnya:
tidakkah mempertuankan, bukan mempertuhankan?
Fikirlah; siasatlah; jujurlah; munasabahlah:
tak reti bahasa boleh amat merugikan, atau juga membahayakan,
apatah lagi sombong dan membuta percaya dan sembrono yakin.
Dan kepada pakar atau “pejuang” ugama yang bercanggah dengan aku:
adakah engkau sebenarnya sedar dan yakin
bahawa makan tahi babi adalah yang selamat bagimu,
atau adakah engkau memang sanggup untuk mubahalah
kepada tuhan, sebenar tuhan, atau kepada Allah,
Dia yang tidak sedikitpun zalim?

Thursday, December 24, 2009

Kepadamu, Perempuan

Tidak semua lelaki adalah ayam jantan
sebagaimana tidak semua lelaki adalah bohjan,
atau sebagaimana tidak semua perempuan
adalah mata duitan, murahan.
Apabila engkau merasa tertarik, atau bahkan menjadi hidup,
janganlah percaya bahawa engkau mesti mengambil watak
ayam betina, lalu menyangka si lelaki mesti mengejar,
atau mengajak makan walaupun olok-olok,
sebelum engkau menyerah dan suka:
aku adalah kuda, ataupun singa,
pastinya bukan yang akan berkokok;
berterus-terang dan kejujuran boleh menghindar, juga menghapuskan,
keraguan dan salah-sangka dan ketidak-pastian dan kesakitan jiwa;
dan adil, bukan sombong, adalah sikap yang mulia.
Murahan atau hina, atau kotor berdosa,
bukanlah kerana berterus-terang serta jujur;
baik atau bahkan mulia
adalah yang tinggi dalam kebenaran serta keadilan;
dan kesucian adalah yang patut dipentingkan,
berbanding seks dan harta, bahkan berbanding cinta:
jadilah orang akal, bukan orang marwah, bukan orang nafsu;
jadilah orang wajar, bukan mabuk keegoan, bukan gila kebendaan;
dan muslim bukanlah yang curang ataupun derhaka terhadap Allah,
Dia, rob-binnas, Dia, malikin-nas, Dia
yang bukanlah sekadar ilah. 

Tinggi Rendah Atau Baik Buruk Diri

Siapakah engkau;
apakah yang ada di hati engkau;
maka, apakah atau siapakah
yang sesuai untuk engkau?
Cinta dan hidayah adalah pemberian Allah,
Dia, penilai terarif dan hakim terwajar,
Dia yang maha suci bahkan maha mulia,
Dia yang tidak bodoh dan tidak sedikitpun zalim;
dan Allah, tuan seluruh Alam, adalah pengajar al Quran,
bukan sekadar si pengarang:
perempuan yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat,
dan lelaki yang jahat adalah untuk perempuan yang jahat;
perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik,
dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik.
Janganlah tak tahu menilai, lalu tak tahu diuntung atau dirugi;
janganlah tak reti bahasa, lalu diselewengkan oleh ulama derhaka;
dan janganlah salah mengenai sifat dan ajaran Dia,
satu-satunya sebenar tuhan,
lalu engkau menjadi sesat atau hina atau kafir tak sedar diri:
kejahilan, apatah lagi sombong, adalah membawa ke Neraka;
penilaian dan ajaran Allah, dan layanan engkau terhadap Allah,
adalah yang patut engkau pentingkan berbanding semua
kerana Allah adalah yang akbar, tiada tandingan;
dan jadilah orang wajar, bukan penghina kesucian;
bukan pelekeh keadilan, dan bukan pencanggah kebenaran,
sebelum kepada Allah engkau dikembalikan. 

Hakikat Cinta Dan Hidayah

(1) 
Unik dan suatu misteri adalah ia,
perasaan yang diberikan nama cinta.
Bagaimanakah ia boleh wujud;
apakah zahirnya; apakah batinnya:
si pencipta adalah yang tahu;
atau siapakah yang boleh membuktikan
bahawa cinta bukanlah ciptaan,
atau cinta bukanlah pemberian Dia, Allah, tuan seluruh Alam?
Setelah beberapa kerenggangan dan kesedihan dan ketidak-mahuan,
cinta sejati adalah yang tetap ada, bukan cinta monyet:
begitulah firasatku.
Kerana hal kesucian, telah aku tinggalkan dia
yang tidak terbanding kecomelan dan kecantikannya
dengan ramai perempuan, walau hati dan minda dan jiwa
terasa pedih, dan berat, dan tersiksa: itu aku pasti. 
(2) 
Betapa ramai yang tak tahu menilai, dan jahil al Quran;
betapa ramai yang tersalah-sangka, dan perasan yang bukan-bukan;
dan betapa ramai yang membuta percaya, lalu sesat tak sedar diri:
hakikatnya, apakah yang engkau tahu;
dalam hal apakah engkau sememangnya benar;
dan adakah engkau layak untuk mendapat hidayah,
bukan lebih sesuai untuk disempitkan pemikiran
lalu diperbodoh atau diseleweng-sesatkan oleh ulama pengembala,
dan bukan lebih patut dibiarkan saja menjadi mangsa,
atau bahkan bahan ketawa, syaitan derhaka?
Cinta dan hidayah adalah pemberian,
lebih bernilai berbanding intan-berlian,
dan hikmah adalah anugerah yang amat besar;
namun siapakah yang layak untuk mengenal dan memperoleh,
sedangkan syaitan masih mampu untuk menghias atau membisikkan
kejahatan dan kebodohan dan kepalsuan,
dan sedangkan Allah, si pemberi, adalah penilai teralim
dan penguasa yang tidak dikuasai dan bukan yang memerlukan?
Perempuan yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat,
dan lelaki yang jahat adalah untuk perempuan yang jahat;
perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik,
dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik;
dan Allah tidak memberi hidayah, apatah lagi tempat di Syurga,
kepada pelampau bahkan kepada pendusta. 
(3) 
Adakah seorang perempuan
di mana keadilan dan kesucian mendapat sokongan,
sedangkan sombong dan keegoan, khususnya perkauman,
mendapat tentangan?
Adakah seorang perempuan
yang memang terbuka kepada kebenaran dan kemunasabahan,
bukan mabuk atau gila ataupun buta kerana berpandukan marwah?
Dan adakah seorang perempuan
yang betul setia kepada Allah, Dia, rob-binnas,
Dia, malikin-nas, Dia yang bukanlah sekadar ilah?
Unik dan kompleks adalah cinta, sebenar cinta;
Allah adalah si pencipta dan si pemberi;
dan Allah adalah penilai terarif, dan guru, dan hakim,
yang tidak bodoh dan tidak sedikitpun zalim.
Cinta dan ehsan; dan keadilan dan kewajaran;
dan amar maaruf nahi mungkar.... 

Wednesday, August 12, 2009

Martabat

Semakin berilmu, atau semakin berduit:
apakah yang mengubah darjat, meninggikan
nilai sebenar diri?
Siapa adalah engkau pada pandangan
Dia, penilai terarif, hakim terwajar,
Dia yang tidak bodoh dan tidak zalim,
Dia, tuan Alam, tidak memerlukan,
Dia yang bukan mata duitan?
Semakin engkau kurang berfikir,
semakin engkau mudah
diseleweng-sesatkan;
dan semakin engkau jahil al Quran,
tidak tahu ajaran Allah, si pengarang,
semakin engkau mudah untuk menjadi
binatang ternakan, bahkan barua
dan bahan ketawa syaitan.
Inna lillah;
dan Allah adalah yang akbar, tiada tandingan,
maka penilaian dan ajaranNya adalah yang penting
berbanding semua yang lain.

Sunday, March 16, 2008

Pilih-Memilih

Pendek kata, salah pilih berdosa; betul pilih berpahala; maka, siapakah yang engkau pilih: adakah dia seorang yang adil, dan yang benar menghormati bahkan menyembah Allah, atau adakah dia seorang yang akan menyalah-gunakan kuasa atau melakukan kezaliman, demi marwah atau keselesaan hidup duniawi? Dan siapakah pejuang, bukan penderhaka, bukan pelampau, bukan apapun kafir, pada pandangan Dia, penilai terarif, hakim terwajar, tuan Alam? Bersubahat adalah berdosa, jahat, hina; dan yang bersubahat adalah menolong ke Neraka: apakah sesungguhnya yang engkau inginkan; dan apakah yang sepatutnya engkau lakukan? Singkirkanlah keinginan yang kotor; bersihkanlah nafsu; dan tingkatkanlah nilai sebenar diri: janganlah singkat pandangan; janganlah lemah dalam keadilan; janganlah cetek dalam kewajaran; janganlah menjadi orang murahan.

Monday, March 3, 2008

Memilih Calon @ Asas Kecemerlangan

Siapakah yang cukup rasional dan tulus
dan tidak akan mengamalkan politik dayus,
maka terbuka kepada debat dan kritikan,
tidak menghalang pendedah-jelasan kesalahan,
bukan musuh atau pun tembok
kepada apa pun kebenaran?
Siapakah yang cukup siuman dan prihatin,
maka tidak akan melekeh atau menambah-beban
mereka yang miskin
atau mereka yang sepatutnya
disedia-berikan bantuan?
Siapakah yang akan membawa lebih kebaikan,
lebih dalam kebajikan dan keadilan dan kewajaran,
bukan lebih dalam ketidak-jujuran
atau ketidak-adilan
atau penderhakaan terhadap Allah,
Dia, si pencipta, si pemberi rezeki, si pemberi nyawa,
Dia, rob-binnas, malikin-nas, bukan sekadar tuhan,
Dia, pengarang al Quran, pencipta Islam,
Dia, tuan Alam?

Janganlah buta kepartian;
janganlah mabuk keegoan;
janganlah mata duitan;
janganlah menjadi orang murahan:
bersubahat adalah berdosa;
bersubahat adalah jahat;
bersubahat adalah derhaka;
kebenaran adalah asas kemaju-jayaan
keadilan adalah kunci sebenar keamanan;
dan kewajaran adalah tangga sebenar kemuliaan.
Semakin tidak jujur semakin tidak layak dipercaya;
semakin bersikap kebendaan semakin tamak dan buta;
semakin derhaka terhadap Allah semakin biadab dan hina;
dan semakin jahil atau mencanggah al Quran
semakin bukan sebenar orang Islam:

janganlah percaya saja;
janganlah seumpama kakaktua;
dan janganlah bagaikan binatang ternakan;
fikir, dan siasat, dan jujurlah;
dan tadabburlah al Quran, kalamullah,
dan tinggilah dalam kebenaran dan keadilan dan kewajaran;
kepada Dia, satu-satunya tuhan, kita dikembalikan.